Channel Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia PRU14

Selasa, 17 Oktober 2017

Hanya Orang Otak Senget Je Gelar Bugis Tu Lanun - Nik Abduh Sindir Mahathir Kaw-Kaw.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurut pandangannya telah melakukan penghinaan terhadap masyarakat Bugis ketika bekas Perdana Menteri itu menzahirkan kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya ketika berada di atas pentas Himpunan Anti-Kleptokrasi sabtu lepas.

Mahathir ketika itu dipetik sebagai berkata, “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis," dalam ucapan penutupnya.

Nik Abduh dalam kenyataan yang dipetik menerusi akaun rasmi Facebook milik beliau berkata penjajah memang sakit hati dengan bugis kerana mereka penjajah yang memberikan bayangan perkataan 'penjajah' itu mungkin mewakili Mahathir manakala perkataan 'Bugis' dipercayai merujuk kepada Najib Razak.

Nik Abduh & Mahathir

"Di Kelantan tak ramai Bugis. Tapi saya ada ramai juga kawan Bugis sebab kawan-kawan saya memang seluruh Malaysia adanya. Kalau kawan Jawa tu memang takyah kiralah.. Tenggelam terus kawan Kutty. Kawan saya di Singapura pun Bugis jugak..
Sedari kecil lagi, bila sebut Bugis, saya ingat satu patah perkataan di depannya iaitu 'pahlawan'. Pahlawan Bugis. Baca buku sejarah, baru saya tahu mereka layak digelar begitu kerana sifat kepahlawanan mereka.
Penjajah dulu memang sakit hati dengan Bugis kerana kepahlawanan mereka menentang penjajah. Penjajah lalu melabel Bugis sebagai lanun. Lanun Bugis," katanya dalam kenyataan itu.

Nik Abduh turut mengelar orang yang suka memanggil Bugis sebagai lanun ialah orang yang otaknya senget.
"Sampai sekarang orang baik-baik akan memanggil Bugis sebagai pahlawan Bugis. Adapun orang yang otak senget atau senget otak, mereka akan memanggil Bugis sebagai lanun Bugis," katanya.

Menurut Nik Abduh lagi, parti yang diasaskan berdasarkan kaum sememangnya akan galak memainkan kata-kata rasis dan menyeru agar kesemua pihak kembali kepada parti yang berasaskan Islam yakni PAS. 

Kenyataan oleh Nik Abduh itu dipercayai sedang memerli parti PPBM, satu parti politik baru yang diasaskan oleh Mahathir Mohamed meskipun tidak menyebut nama.
"Dalam politik Malaysia, dalam PAS, lanun tak ada. Otak senget pun tak ada. Yang ada hanyalah orang baik-baik dan mempunyai sifat kepahlawanan Bugis walaupun mereka bukan daripada orang berketurunan Bugis.
Dalam parti lain, ada tak otak senget, saya seganlah nak sebut. Tapi yang gelar Bugis sebagai lanun memang ada..
Parti yang berasaskan bangsa, memang akan tersembul lidah mereka dengan kata-kata rasis. Jadi tinggalkan saja. Pilih parti berasaskan Islam. Menjolok seseorang yang tidak disukai dengan gelaran atau nama keluarga, bangsa, ugama atau seumpamanya adalah salah dan terlarang. Islam menolaknya.
Cantik Malaysia pada sifat berbilang-bilang. Bila hanya satu, tinggallah nasi tanpa lauk pauk. Walau putih berseri, rasanya tawar," katanya lagi mengakhiri kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan yang berkaitan, awal pagi tadi BH Online melaporkan Persatuan Bugis menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bugis Johor, Md Sah Daeng Matatah berkata, ucapan Mahathir telah menghina masyarakat Melayu Bugis di seluruh negara termasuk keluarga diraja. 

"Tidak patut Tun Mahathir cakap begitu. Itu dah rasis. Berapa ramai orang Melayu Bugis di sini? Sultan Melayu ramai dari keturunan Bugis di Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan ramai lagi. 

"Orang Bugis bukan lanun. Itu (lanun) digelar oleh orang putih. Kita (Bugis) adalah pahlawan dan ini juga disebut dalam sejarah," katanya. 

Md Sah juga dipetik berkata sebagai orang yang sudah berusia, Mahathir tak sepatutnya bercakap sedemikian dan menghina orang lain. 

"Jangan hina orang Bugis. Tak patut dia cakap seperti itu. Dia sepatutnya jaga mulut. 

Patutnya sebagai orang yang sudah tua, dia kerap pergi ke masjid, sepatutnya dia bertaubat di hujung usia ini," katanya lagi. 

Najib bagaimanapun belum lagi memberikan apa-apa reaksi balas terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri itu. Turut dilaporkan beberapa pihak telah tampil membuat laporan polis terhadap ucapan Mahathir pada malam tersebut.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...