Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 25 September 2017

PAS Nekad Halang Jika Pindah Pesta Arak Ke Selangor.

Oleh : Malaysiakini

PAS akan cuba sedaya upaya menghalang pesta arak Better Beer Festival 2017 jika penganjurnya cuba memindahkan acara tahunan itu ke Selangor berikutan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menolak permohonan permit penganjuran pesta tersebut atas sebab keselamatan. 

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, acara itu jelas tidak menghormati sensitiviti agama selain mencabar keharmonian hidup beragama. 


 
“Satu persoalan yang saya nak bangkitkan, arak ini agama siapa atau milik kaum mana? Kalau nak kata hormati agama dan kaum lain, buktikan arak ini milik siapa. 

“Kristian, Buddha dan apatah lagi Islam semuanya menolak arak. Kita tidak halang kaum lain untuk minum arak tetapi jangan buat pesta kerana ia mencabar dan tidak menghormati agama lain,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia hari ini. 

Sallehen mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam yang berkata, meskipun kerajaan negeri menghormati hak kaum dan agama lain, penganjur pesta arak tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mahu mengadakan di negeri itu. 

Beliau bagaimanapun berkata, dirinya tidak pasti sama ada penganjur ada membuat permohonan di peringkat majlis tempatan kerana ia tidak sampai di peringkat negeri. 

Sementara itu, akhbar milik Umno itu turut memetik Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long menyuarakan kekecewaan terhadap Azmin kerana didakwa gagal menjaga maruah agama Islam dan menjatuhkan maruah pemimpin Islam. 

Katanya, menteri besar itu, sepatutnya mengutamakan untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang telah termaktub dalam perlembagaan sebagai agama rasmi di negara ini. 

“Selama ini kita tidak pernah halang kaum lain minum arak, malah kilang arak pun ada di Selangor. 

“Apakah mereka menghormati Islam dengan mengadakan pesta arak? Mereka sendiri tidak hormati kita dan kenapa kita pulak yang kena hormati mereka, ini tidak adil dan berat sebelah. 

“Sebagai sebuah kerajaan yang berprinsipkan Islam, kerajaan negeri tidak boleh terlalu liberal dan letakkan kebebasan sebagai keutamaan kerana pesta arak jelas membawa keburukan,” katanya. 

Jumaat lalu, gabungan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor memohon agar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan sekiranya terdapat cadangan pesta arak dianjurkan di negeri itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...