Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 23 Mei 2017

Jawatan PM Bukan Macam Agih Harta Pusaka, PAS Sindir PKR.


Berapa Lama Mahu Berpaut kepada Anwar.?

1. Dalam Kongres PKR hari ini, sebahagian besar pemimpin Pakatan Harapan memegang plakard "Anwar PM ke 7". Cuma, agak hairan apabila melihat Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin tidak pula memegang plakard tersebut walaupun mereka bersama berdiri di pentas utama.

2. Semenjak dulu sehingga sekarang, nama Anwar sering diratib seolah ubat mantera mujarab kepada penyelesaian masalah negara ini. Pakatan Harapan lebih selesa untuk terus hidup di alam mimpi yang tidak berpijak di alam realiti. Hakikatnya, PRU 14 hanya menunggu masa dan detiknya sahaja untuk berlangsung sebelum Jun 2018. Anwar masih lagi berada di penjara pada tempoh itu, jadi mengapa berharap atas perkara yang tidak pasti.?

3. Ada juga cadangan agar Wan Azizah dilantik sebagai PM Peralihan, kemudian diserah jawatan PM Sebenar kepada Anwar. Jawatan PM adalah urusan mentadbir sebuah negara, ini bukan kerja seperti mengagih harta pusaka warisan ahli keluarga. Adakah PH  mahu mengulangi episod Langkah Kajang dahulu yang menyaksikan kesudahannya Wan Azizah hanya berjaya kekal sebagai 'bekas calon MB Selangor' sahaja.?

4. Dalam ucapan Naib Presiden PKR pula, Nurul Izzah membacakan warkah amanat dari penjara yang dikirim oleh ayahandanya. Anwar dikatakan sudah menjangkakan PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR kerana kononnya kebelakangan ini PAS lebih mesra kepada UMNO, PAS dituduh tidak menentang GST, PAS tidak menentang kenaikan harga minyak, dan  PAS tidak sertai Himpunan BERSIH. Anwar juga menafikan PKR menentang RUU 355.

5. PAS dituduh bermesra dengan UMNO oleh Anwar. Adakah Anwar menyangka PAS terlupa cadangan UG versi PKR dulu iaitu Konsensus Nasional.? Adakah Anwar menyangka PAS terlupa berkenaan rundingan sebalik tabir di London pada penghujung tahun 2013 dulu.? PKR diwakili oleh Saifuddin manakala UMNO diwakili oleh Zahid dalam rundingan sulit di  The Landmark London Hotel itu.

6. Anwar menuduh PAS tidak menentang GST, kenaikan harga minyak, dan  pilihan raya bersih. Ini tuduhan yang sangat tidak berasas. Mungkin dek kerana Anwar di penjara menyebabkan dia tidak tahu berapa banyak kenyataan media dan ucapan pimpinan PAS dalam isu ini. Bahkan, Tuan Guru Presiden PAS sudah banyak kali ketika berucap di Parlimen menyebut mengenai GST adalah cukai yang zalim, ianya perlu ditarik balik. Berita sebegini usahlah diharap untuk terbit dalam portal media proPH seperti Malaysiakini, Free Malaysia Today dan The Malay Mail.

7. Adapun berkenaan RUU 355, kita semua sedia maklum bahawa PKR begitu bercelaru dalam isu ini. Anwar seolah menyokong RUU 355, Azizah berkata dia tidak faham RUU 355, Azmin pula sering mengelak menyatakan pendirian, Rafizi dan Ahli Parlimen PKR yang berada dalam precouncil pula bersepakat untuk menentang RUU 355. Adakah Anwar menyangka PAS tidak nampak apa yang berlaku itu semua.?

8. Entah berapa lama lagilah PKR dan PH mahu berpaut kepada nama insan bernama Anwar.? Itu hak mereka cuma perlu diingat perjuangan hanya atas nama individu tidak akan dapat kekal lama kerana ia amatlah goyah dan boleh berubah. Bukti nyatanya lihatlah hari ini PKR sendiri sudah begitu berbangga dapat bersekongkol dengan Tun M yang dulunya memfitnah, memecat dan memenjarakan Anwar dalam kes Liwat 1. Setakat ini, tidak pula kita dengar Tun M menyesal dan meminta maaf atas kesilapannya dahulu.
PAS yang dulunya menjadi teman setia di kala PKR susah-payah menentang Tun M, kini PKR sanggup pula bersekongkol dengan Tun M menyerang PAS.
Benarlah kata pepatah, "habis madu, sepah dibuang".

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

21 Mei 2017

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...