Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 3 Mei 2017

Himpunan 1 Mei Hambar, Ahli PSM Jawab Malaysiakini.

Oleh : Nik Aziz Afiq
Himpunan 1 Mei hambar.
Itulah tajuk yang dipilih portal berita Malaysiakini berbanding beberapa portal lain yang memfokuskan kepada tuntutan himpunan tersebut sebagai tajuk utama.
Katanya kerana himpunan ini kurang orang berbanding tahun lalu. Maka jika kawan-kawan lihat tampil lah pelbagai jenis manusia saling berkomentar di ruangan komen portal tersebut. Majoriti menghentam atau bernada sinis pada PSM yang dikatakan sebagai penganjur oleh Malaysiakini walau terang bersuluh semua hebahan menyatakan ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei 1 yang dianggotai pelbagai ngo, pergerakan, pertubuhan lain.
Saya tak berminat untuk melawan pemberitaan Malaysiakini. Malah kebebasan media merupakan salah satu tuntutan himpunan kali ini. Saya percaya media berhak melaporkan apa yang mereka lihat di tempat kejadian tanpa perlu menjaga hati sesiapa. Sekalipun setiap media, saya ulang setiap media mempunyai propaganda tertentu dalam laporan itu tidak boleh menjadi sebab untuk kita bersikap defensif. Saya raikan dan selaku salah seorang peserta yang juga sukarelawan menjaga lalulintas saya kira ia sebuah kritikan yang perlu diterima dengan hati terbuka.
Cuma kawan-kawan saya yang tidak hadir bertanya betul kah hambar?
Maka saya suka untuk berkongsi beberapa perkara yang saya lihat ketika himpunan ini.
Kisah 1 : Barisan paling akhir perarakan.
Dalam setiap himpunan atau protes yang disertai PSM biasanya saya akan ditempatkan untuk mengawal lalu lintas di barisan hadapan. Akibat kecederaan kaki yang belum pulih sepenuhnya saya meminta untuk ditempatkan di barisan paling belakang kali ini atas alasan mahu berjalan lebih lambat. Apa yang mengejutkan adalah begitu ramai peserta-peserta yang senasib dengan saya - orang yang susah bergerak - berada di barisan belakang.
Saya tak tangkap sebarang foto (alangkah ruginya) namun kalaulah saya boleh tunjukkan bagaimana seorang berpangkat atuk tua tempang menjadi orang terakhir dalam perarakan ini. Oleh kerana saya menjaga barisan belakang maka saya lihat kesukaran yang beliau alami. Kerap kali beliau terhenti dan jelas memaparkan riak kesakitan di wajah namun tetap teruskan melangkah. Berkali- kali saya dan kawan-kawan mengajak beliau untuk berhenti di bahu jalan berehat seketika atau masuk kedalam van pengiring dibelakang namun beliau tolak. Sekitar 1 kilometer baki perjalanan kami lihat beliau semakin lemah. Kami mengajak beliau dan kumpulan ibubapa yang mendukung anak untuk memasuki sebuah jalan pintas dimana jalan itu lebih pendek dan terus sampai ke lokasi.
Mereka tolak. Mereka mahu teruskan perjalanan.
Kisah 2 : Van pengiring.
Van pengiring merupakan kenderaan terakhir dalam perarakan ini. Tugasnya mengangkut air mineral dan roti krim yang disumbangkan untuk diagihkan buat mereka yang memerlukan. Van ini dimiliki oleh ibupejabat PSM. Uniknya van secondhand ini ialah ia van yang agak lama dan uzur. Bunyinya agak ganas sedikit dan jujur kata secara peribadi saya rasa ia bukan van yang layak untuk menjadi pengiring. Cuma kami tidak punyai banyak pilihan. Namun seperti mana kumpulan yang berada di barisan belakang, van ini sebolehnya gagahkan diri mengikuti sekaligus melindungi kami dari deruan kenderaan awam lain di belakang.
Sebaik sampai ke lokasi terakhir sekumpulan demonstran keluar dari van ini. Tercengang saya. Rupanya ramai juga demonstran yang keletihan dan kesakitan dibawa van ini. Saling berhimpit dengan roti dan air mineral. Habis himpunan van inilah juga yang mengangkut sampah untuk dibuang.
Kenapa saya kongsikan dua kisah ini? Apa pula perkaitan dengan topik hambar tadi?
Sebenarnya himpunan ini mempunyai persamaan dengan atuk tua tempang dan van pengiring uzur tadi. Di mata Malaysiakini himpunan ini hambar. Dimata saya atuk itu tua dan tempang serta van itu buruk dan uzur. Di mata saya dan Malaysiakini boleh sahaja kami mencari pelbagai ruang untuk menunjukkan kelemahan namun himpunan anjuran jawatankuasa ini tetap berlangsung dan bergerak dari 1994 hingga kini - lebih awal dari penubuhan Malaysiakini sendiri. Sebuah himpunan tahunan jalanan paling lama disambut oleh masyarakat tertindas mengatasi Bersih dan lain-lain.
Walau tua dan tempang bagaimanapun atuk itu dimata saya ia tidak menghalang beliau menghabiskan perarakan hingga ke tempat penamat. Walau buruk dan uzurnya van pengiring itu sehingga saya merasakan ia tidak layak namun ia tetap menjalankan tugas sebaiknya dari awal hingga akhir.
Jika hambar itu dilihat dari sudut kurangnya peserta, tiada ucapan berapi pimpinan politikus, tiada bendera parti politik berkibar, ya himpunan ini hambar.
Samalah jika hambar itu dilihat dari sudut usia tua, tempang, buruk dan uzur maka ya atuk itu juga hambar, van itu juga hambar.
Namun yang 'hambar' ini dimata orang, boleh jadi yang paling bersemangat menanggung derita dalam berjuang. Yang 'hambar' inilah yang sudi dan sedia mengorbankan masa senang dari berehat bersama keluarga terutama dengan cuti bersambung tiga hari. Yang 'hambar' inilah yang terpekik terlolong di tengah terik mentari dalam kesibukan kota untuk mengangkat suara majoriti yang ditindas kelompok minoriti.
Biarlah pada mata Malaysiakini himpunan ini hambar, biarlah dimata saya atuk dan van itu hambar. Namun ia tidak menggugat walau seinci untuk himpunan, atuk dan van melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Teruslah bergerak wahai van walau semakin uzur.
Teruslah berjalan wahai atuk walau semakin tua. 
Teruslah berhimpun wahai himpunan pekerja walau semakin hambar.
Uzur, tua dan hambar adalah alasan kerdil untuk menghalang kita dari terus bersemangat berjuang!
"Selagi nyawa dalam diri,
Perjuangan tak kan henti,
Biar darah membasah bumi,
Menyerah tak kan sekali"

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...