Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 15 Mei 2017

EXCO PAS Wajar Letak Jawatan, Jangan Babitkan Sultan Kata Mahfuz Omar.

Kenyataan Media
PUTUS HUBUNGAN DENGAN PKR : EXCO PAS SELANGOR WAJAR LETAK JAWATAN DAN TIDAK PERLU MENCARI PERLINDUNGAN POLITIK ISTANA.
1.Saya berasa terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man sepertimana yang disiarkan di dalam beberapa portal berita utama di mana beliau mengatakan bahawa anggota-anggota *Exco PAS kerajaan negeri Selangor akan hanya meletak jawatan sekiranya ianya mendapat perkenan dari Tuanku Sultan Selangor*.
2. Pertamanya, Tuan Ibrahim seharusnya memahami bahawa PAS sendiri melalui *muktamar dan Majlis Syura Ulamak telah memilih untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP atas alasan mereka telah mengkhianati PAS dan menentang agenda perjuangan yang dibawa PAS*. Ini bermakna PAS tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua parti tersebut dan ini turut meliputi mana-mana kerajaan yang terdiri dari kedua-dua parti tersebut.
3. Dari segi *moral politiknya PAS wajib untuk memisahkan diri dari terlibat atau bersekongkol di dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa oleh PAS telah mengkhianati PAS*. Dalam situasi yang berlaku di Selangor sekarang, Exco-Exco PAS sepatutnya meletak jawatan serta merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh sesiapa. *Perletakan jawatan ini adalah untuk menunjukkan isyarat bahawa pendirian PAS Pusat dan Selangor selari dengan keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulamak* di mana PAS tidak lagi dapat bersama PKR di atas alasan-alasan pemutusan tahaluf siyasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.
4. Sungguh menghairankan apabila Timbalan Presiden PAS sendiri kelihatan *masih ragu-ragu* di dalam mendukung keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulamak apabila cuba untuk *menyandarkan kedudukan Exco PAS di Selangor kepada proses pelantikan Exco-Exco tersebut yang dibuat oleh Tuanku Sultan Selangor*.
5. Amatlah tidak wajar Tuan Ibrahim dan PAS untuk *mengheret institusi raja dan mencari perlindungan politik istana semata-mata untuk mempertahankan ghanimah kedudukan Exco PAS di Selangor*. Tuan Ibrahim selaku seorang tokoh politik kanan sepatutnya arif bahawa di dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan, pelantikan Exco Kerajaan Negeri walaupun dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja, tetapi ianya *adalah atas nasihat dan cadangan nama yang diangkat oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar*.
6. Justeru, raja-raja di dalam membuat pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada nasihat badan Eksekutif dalam rangka *melaksanakan tugas perlembagaan (constitutional duty) mereka sepertimana yang dinyatakan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan atau di dalam konteks Negeri Selangor, merujuk kepada Artikel 53 dan 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor*. Sedangkan pertimbangan dan pilihan untuk melantik mana-mana orang yang layak untuk menjadi menteri atau anggota Exco, adalah merupakan hak dan tanggungjawab Perdana Menteri atau Menteri Besar selaku ketua kepada kerajaan dan badan Eksekutif.
7. Bagi saya, Tuan Ibrahim *tidak perlu mengulangi ‘skrip’ yang pernah dimainkan oleh mantan-mantan Exco Kerajaan Kelantan dari Parti Melayu Semangat 46 yang enggan meletakkan jawatan Exco pada tahun 1996, walaupun pada ketika itu Semangat 46 telah memutuskan hubungan dengan PAS dan kemudiannya dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahli parti tersebut menyertai UMNO atas alasan pelantikan mereka dibuat oleh Tuanku Sultan Kelantan*, selain dari dalih kononnya untuk meneruskan mandat yang diperolehi bersama Angkatan Perpaduan Ummah di dalam Pilihanraya Umum 1995.
8. Tuan Ibrahim dan PAS seharusnya sedar dan berasa *malu kepada UMNO yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir ketika itu yang secara tegas dan bermaruah mengarahkan kesemua Exco-Exco tersebut yang diketuai oleh Datuk Rozali Isohak selaku Timbalan Menteri Besar II untuk segera meletakkan jawatan* atas dasar UMNO tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan PAS.Situasi Politik di Selangor tiada pilihan bagi Pas selain menarik diri dari kerajaaan Selangor. *Kecuali 3 exco dari Pas berjiwa rakyat dan berjiwa Selangor*,mereka mempunyai pilihan untuk menyertai mana mana Parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi memperkukuhkan kerajaan Selangor serta menggerakan gelombang pru14 untuk *mengalahkan Umno Bn dan membina semula Malaysia tercinta*
9. Tidak sewajarnya PAS meletakan beban untuk mengosongkan kerusi Exco kerajaan negeri kepada YAB Datuk Seri Azmin Ali Menteri Besar. Bukannya MB Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya PAS yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.Oleh itu *tidak ada keperluan untuk MB Azmin nak minta Exco PAS meletakan jawatan*.Janganlah situasi di Selangor ini menjadikan *rakyat melihat PAS tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala*.
*DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
11.00am Kuala Lumpur
15 Mei 2017/18 Syaaban 1438H

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...