Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 19 Mei 2017

Diserang Pembangkang Isu Buku Hannah, Pensyarah Luahkan Perasaan Di Facebook.

Oleh : Kamarul Yusoff


BUKAN SAYA TETAPI HANNAH YEOH YANG BACUL  

Seorang peguam, Syahredzan Johan, menuduh saya “bacul” kerana membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh tetapi tidak berani mengajak Hannah Yeoh berdebat mengenai kandungan buku beliau. Tulis Syahredzan Johan, “Orang yang bacul yang buat repot polis. Kenapa tak pi ajak Hannah debat?“

Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, juga memberikan innuendo hampir sama. Tulis Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa: “Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah. Lebih rumit bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan. Malah berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.”

Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, turut menyebut perkara yang sama. Tulis Zolkharnain Abidin: “Jika bangkitan itu bermotif ilmu, ia diwacanakan dalam kalangan ilmuwan dengan membawa sekali penulisnya untuk merespon satu per satu perkara yang dibangkitkan. Penulisnya boleh dikritik secara berdepan, secara ilmiah dan diselesaikan di meja para ilmuan.”

Sebenarnya, lontaran begini patut ditujukan kepada Hannah Yeoh, bukan kepada saya, kerana beliaulah yang pertama sekali membuat laporan polis terhadap saya sebelum saya membuat laporan polis terhadap beliau. Soalnya ialah mengapakah lontaran mengenai dialog ini hanya dibangkitkan setelah saya membuat laporan polis terhadap beliau, bukan setelah beliau membuat laporan polis terhadap saya?

Sehubungan itu, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, pula mendesak saya menarik balik laporan polis saya dan memohon maaf terhadap Hannah Yeoh. Desak Lim Lip Eng: “Kamarul should now conduct himself in a sensible and noble manner by retracting his police report immediately and to apologize to Hannah unreservedly”.

Bagaimanapun, suka saya tegaskan di sini bahawa saya sama sekali tidak akan menarik balik laporan polis saya dan saya sama sekali tidak akan memohon maaf terhadap Hannah Yeoh. Sebaliknya, Hannah Yeoh-lah yang sebenarnya perlu menarik balik laporan polis beliau dan memohon maaf terhadap saya.

Komentar saya bertajuk “Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP” pada 10 Mei lalu yang menjadi punca keriuhan hanyalah satu komentar peribadi yang dimuatkan di dalam Facebook saya sahaja. Saya tidak faham bagaimana satu komentar peribadi di dalam Facebook seorang individu yang tiada sebarang jawatan penting di dalam mana-mana organisasi, apatah lagi di dalam mana-mana parti politik, boleh “menimbulkan satu risiko yang tinggi terhadap keselamatan diri saya dan ahli-ahli DAP” seperti yang didakwa oleh Hannah Yeoh di dalam laporan polis beliau terhadap saya pada 15 Mei lalu.

Sekiranya Hannah Yeoh tidak bersetuju dengan apa-apa kandungan komentar peribadi saya itu, beliau boleh sahaja menjelaskan satu per satu perkara yang saya bangkitkan di dalam mana-mana ruang, termasuk di dalam Facebook yang merupakan cara yang paling telus dan paling mudah untuk berdialog, tetapi beliau malangnya memilih untuk membuat laporan polis dan bukannya untuk berdialog secara matang.

Laporan polis Hannah Yeoh sangat kabur. Ia mendakwa bahawa “isi kandungan kenyataan Facebook tersebut yang menyatakan bahawa DAP giat mencampurkan urusan politik dengan urusan agama, terutamanya agama Kristian, merupakan satu tuduhan yang tidak benar”. Bagaimanapun, Hannah Yeoh sendiri tidak mampu menjelaskan secara spesifik petikan mana di dalam  komentar peribadi saya itu yang “merupakan satu tuduhan yang tidak benar” dan beliau juga tidak mampu memberikan bukti spesifik mengapa petikan itu tidak benar.

Begitu juga dengan tuduhan lain di dalam laporan polis Hannah Yeoh bahawa “kenyataan Facebook tersebut bersifat prasangka jahat dan jelas berniat untuk menyebarkan kebencian terhadap diri saya, pemimpin-pemimpin DAP yang dinamakan dalam kenyataan tersebut dan parti DAP”. Tuduhan ini juga tidak disertakan penjelasan spesifik petikan mana di dalam kenyataan Facebook tersebut yang bersifat begitu selain tidak disertakan bukti spesifik mengapa petikan itu bersifat begitu.

Di dalam satu komentar Facebook beliau sehari selepas saya membuat laporan polis terhadap beliau, Hannah Yeoh menulis, “Agama saya menjadi panduan hidup saya. Ruang persendirian.” Apakah memberikan kenyataan kabur begini boleh dinamakan sebagai dialog?

Walhal di dalam laporan polis saya terhadap beliau jelas saya sebutkan tiga pengakuan beliau sendiri, iaitu mengenai betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; mengenai betapa beliau menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; dan mengenai betapa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.

Laporan polis Hannah Yeoh juga sangat kabur kerana tidak menyatakan secara spesifik apa kesalahan yang mungkin telah saya lakukan di dalam komentar peribadi saya itu. Sebaliknya, ia hanya sekadar “menggesa pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang terbabit dalam kenyataan tersebut berdasarkan undang-undang yang sedia ada.”

Bandingkan dengan laporan polis saya yang menyebut secara spesifik kesalahan yang mungkin telah Hannah Yeoh lakukan di dalam buku beliau itu.

Saya sebutkan bahawa Hannah Yeoh mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No. 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.

Turut saya sebutkan adalah bahawa Hannah Yeoh juga mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

Seperti disebutkan oleh seorang lagi peguam, Azhar Harun atau Art Harun, peruntukan undang-undang yang saya sebutkan ini, khususnya Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988, adalah sah kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Pandangan beliau bahawa elemen niat untuk melakukan kesalahan ini perlu dibuktikan wujud adalah satu soal lain yang perlu diputuskan oleh pihak berwajib. Banyak lagi pandangan lain yang menyatakan elemen niat tidak perlu dibuktikan.

Jika orang-orang seperti Syahredzan Johan, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dan Zolkharnain Abidin benar-benar berintegriti, mereka sepatutnya menggesa Hannah Yeoh menerangkan dengan jelas mengenai tiga pengakuan beliau ini, dan bukan hanya sekadar menyebut secara sepintas lalu bahawa agama adalah “ruang persendirian”.

Tindakan para pemimpin dan penyokong DAP mempertikaikan kredibiliti saya, termasuk tindakan Penasihat DAP merangkap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, sendiri yang mempertikaikan kecocokan dan kesesuaian saya untuk menjadi seorang pensyarah sebuah universiti awam, tetapi tidak menjawab perkara sebenar yang saya bangkitkan, menjadi bukti jelas ketidakmampuan mereka menangani isu ini.

Kepada Lim Kit Siang, begitu juga dengan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dan kolumnis Malaysiakini, Stephen Ng, yang kelihatan bermulut celupar sekali dengan meminta saya disiasat dan didakwa kerana kononnya membuat laporan polis palsu, sukalah saya ingatkan supaya jangan terburu-buru melabelkan laporan polis saya sebagai laporan polis palsu.

Wahai Lim Kit Siang, sebelum anda membuat sebarang komentar mengenai perkara yang melibatkan soal undang-undang, ingatlah dahulu kata-kata mendiang Karpal Singh mengenai anda ini: “In the early days, I told him (Lim Kit Siang) to start a law firm to support his family and he opened up Lim Kit Siang and Co in Malacca. But after a few months, he came to my office, put some files on the table and said, “I don’t know how you do this, but can you please complete these files for me?” I said, “Hold on, Kit” but he quickly added, “I’ve already taken down the sign board!” (Petikan dari buku “Karpal Singh: True Malaysian”, muka surat 81).

(Terjemahan: “Pada hari-hari awal, saya beritahu beliau (Lim Kit Siang) supaya membuka sebuah firma undang-undang untuk menyara keluarga beliau dan beliau membuka Lim Kit Siang and Co di Melaka. Tetapi selepas beberapa bulan, beliau datang ke pejabat saya, letakkan beberapa fail di atas meja dan berkata, “Saya tidak tahu bagaimana kamu buat ini, tetapi bolehkah kamu lengkapkan fail-fail ini untuk saya?” Saya berkata, “Bertahan, Kit” tetapi beliau menambah dengan cepat, “Saya sudah menurunkan papan tanda!”)

Wahai Lim Kit Siang, “tidak tahu” (don’t know) itu apa maksudnya ya?

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...