Khamis, 20 April 2017

EXCO Johor Minta Maaf, Letak Jawatan Kerana Terlibat Dakwaan Rasuah.

Susulan pendakwaan 33 tuduhan kes rasuah yang dikenakan terhadapnya di mahkamah semalam, Abdul Latif Bandi hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

Gambar Oleh Sinar Harian.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Latif berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor dan menteri besar atas kepercayaan yang diberikan sepanjang menjadi exco negeri.

Latif turut mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat, rakan exco, NGO dan rakyat di Mersing yang memberi sokongan kepadanya untuk menjalani proses perundangan itu dengan seadilnya. Kenyataan berkenaan dikeluarkan peguambela dan peguamcara Adzly & Co petang tadi.

Abdul Latif Bandi, bersama seorang lagi individu yang juga perunding hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baru atas pertuduhan rasuah membabitkan nilai lebih RM30 juta.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot  Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kes skandal hartanah Johor merupakan salah satu kes penyelewengan terbesar yang berlaku di negara ini, yang turut membabitkan pemimpin berprofil tinggi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...