Channel Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia PRU14

Sabtu, 18 Mac 2017

Pengasas Perlis Hope Hilang Sehingga Kini - Apa Yang Anda Patut Tahu Dan Persamaan Dengan Kes Kehilangan Paderi Raymond.

Sejak beberapa minggu yang lepas negara digemparkan dengan penculikan terancang Paderi Raymond. Kes itu semakin mendapat perhatian umum selepas video penculikan didedahkan kepada umum. 

Susulan dari itu, netizens mula membuat pelbagai tanggapan sehingga memaksa polis untuk campurtangan bagi menghentikan spekulasi-spekulasi itu kerana ada di antara spekulasi itu membabitkan kredibliti dan reputasi PDRM itu sendiri.

Paderi Raymond diculik pada jam 8 pagi selepas keluar untuk bertemu kawannya. Beliau diculik pada 13 Februari pada hari yang sama dengan kes pembunuhan Kim Jong Nam di KLIA 2.

Baca : Segalanya tentang penculikan Paderi Raymond

Sebenarnya sebelum Paderi Raymond diculik, kami diberitahu beberapa bulan yang lepas ada satu kes penculikan yang seakan lebih kurang serupa meskipun modus operandi penculikan agak berbeza.

Apakah kes itu? 

Saksikan pendedahan seterusnya.

Kenali Amri Che Mat - Pengasas Perlis Hope

Amri Che Mat yang berusia 43 tahun ialah seorang aktivis kemasyarakatan. Beliau merupakan orang penting dan pengasas kepada satu pertubuhan yang diberi nama Perlis Hope - Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis.

Beliau sangat aktif dalam membantu orang susah terutamanya anak yatim dan fakir miskin. Beliau juga dipercayai telah diperhatikan oleh pihak tertentu yang kurang menyenangi dengan sikap beliau yang terlalu aktif dalam membantu golongan susah kerana terdapat pihak tertentu yang dikritik kurang efektif dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. 

Baca : Bina Rumah Terpantas - Perlis Hope cipta rekod!

Pada 24 November tahun 2016, Amri Che Mat secara tiba-tiba hilang dari radar. Pada malam kehilangan Amri Che Mat, beliau sepatutnya keluar bertemu dengan kawannya sebelum dilaporkan hilang.

Menurut saksi kejadian, sebelum 'dihilangkan', kenderaan Amri telah dikepung oleh beberapa buah kenderaan yang lain dan saksi tidak berani mendekati kenderaan mangsa.

Berikut ialah infografik yang pihak kami terima dari wakil Perlis Hope. 



5 biji kenderaan telah mengepung kereta mangsa dan membawa mangsa secara paksa masuk ke dalam kenderaan lain. Salah seorang penyerang kemudiannya membawa kereta mangsa ke lokasi yang lain.



Kereta mangsa kemudiannya ditinggalkan di tapak sekolah sukan yang terbengkalai (kawasan Bukit Chabang). Berikut di bawah ialah keadaan kereta ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pada 27 November 2016, pihak polis mengeluarkan satu kenyataan bahawanya pihak polis telah menolak andaian kononnya Amri Che Mat diculik berikutan tiada panggilan meminta wang tebusan telah dibuat kepada keluarga selepas kehilangan Amri Che Mat. Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan penglibatan Amri dalam perdagangan forex mungkin menjadi motif kehilangan aktivis itu.

Pada 10 Disember 2016, Mohammad Faisol, jurucakap kepada keluarga Amri memaklumkan kepada pihak media bahawanya aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan oleh Amri Che Mat telah dikaitkan dengan ancaman ektremis oleh pihak tertentu termasuk oleh pihak berkepentingan politik.

Bagaimanapun Mohammad Faisol tidak menamakan pihak yang melakukan ancaman tersebut. Kenyataan media khas yang dilakukan oleh keluarga Amri itu bertujuan untuk mendesak pihak tertentu agar lebih tegas dalam menjalankan siasatan.

Mohammad Faisol dalam sidang itu juga ada memaklumkan, beberapa hari sebelum Amri hilang, terdapat beberapa kenderaan seperti kereta dan motorsikal yang berlegar-legar di hadapan kawasan rumah Amri.
Menurut Faisol, setelah membuat laporan polis kali pertama 24 November lepas, terdapat beberapa petunjuk dari saksi yang membuatkan pihak keluarga mengesyaki terdapat unsur jenayah khianat yang telah dirancang rapi ke atas Amri.
"Pihak keluarga mengesyaki bahawa kejadian kehilangan ini ada hubung kait dengan laporan media yang tersiar di dalam media akhbar dan media sosial sebelum kejadian.
Kerja-kerja kebajikan yang beliau lakukan juga, katanya, telah menyebabkan ramai pihak menyanjung dan memuji kerja kebajikan yang beliau lakukan dan ada juga pihak yang kurang senang serta iri hati apabila kalangan rakyat Perlis sendiri turut menyokong beliau.
"Kenyataan dari pihak tertentu dan politik ini mungkin membuka peluang mewujudkan ancaman terhadap beliau," tambahnya.
Pihak keluarga juga, katanya, mendapati pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan berkaitan kes ini samada dari segi mangsa, keselamatan keluarga dan kediaman serta kawalan di sempadan.
Justeru itu, katanya, pihak keluarga melalui kenyataan media ini mengharapkan media dapat menyiarkannya sebagai suatu proses untuk menuntut agar pihak polis negeri Perlis dan pihak polis Bukit Aman serta Kementerian Dalam Negeri lebih serius menyelesaikan kes.
Ini kerana pihak keluarga yakin kehilangan ini bukan berpunca dari faktor pelaburan Forex seperti dinyatakan oleh Ketua Polis Negeri Perlis yang diwar-warkan oleh media massa.
Sehingga ke hari ini, selepas dua laporan polis dibuat, keberadaan Amri Che Mat masih dalam keadaan misteri. Telah hampir 3 bulan aktivis itu hilang tanpa khabar berita, keluarga dan rakan-rakan masih terus tertanya-tanya. 
Persamaan dengan Paderi Raymond 
- Kedua-dua kes penculikan itu terancang
- Kedua-dua kes penculikan itu mengepung kenderaan mangsa dengan beberapa kenderaan lain sebelum mangsa dihilangkan
- Kedua-duanya ialah individu yang bergiat aktif dalam aktivis kemasyarakat dan membantu orang susah juga memiliki NGO sendiri.
- Tiada panggilan wang tebusan dibuat meskipun dalam kes paderi Raymond akhirnya ada yang SMS meminta wang tebusan namun ianya terlalu pelik untuk mempercayai suspek yang meminta wang tebusan ialah suspek yang menculik, boleh jadi poser yang bertujuan mengambil kesempatan.
115 hari - ialah bilangan hari isteri dan keluarga Amri yang tidak dapat menatap wajah ahli keluarga mereka yang hilang secara misteri tanpa sebarang petunjuk. Marilah kita sama-sama berdoa agar apa yang hilang itu bersegera pulang ke pangkuan keluarga yang sedang menunggu dengan sabar.
Rujukan :  http://www.bharian.com.my/node/217392

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/misteri-kehilangan-aktivis-perlis-hope-1.597580

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/15-berita/6095-kehilangan-aktivis-ngo-perlis-hope-dibimbangi-ada-unsur-jenayah

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...