Selasa, 21 Mac 2017

Lombong Bauksit Terbiar Yang Menyebabkan 3 Kanak-Kanak Mati Lemas Tidak Boleh Dianggap Lombong Bauksit Sebab Tiada Lesen - Menteri.

Kenyataan Media
Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
20hb Mac 2017


Menteri dan Kerajaan Negri Pahang di gesa dedahkan identiti pemilik tanah tapak dimana kanak-kanak 3 orang telah mati lemas. Serta tindakan keras diambil diatas kecuaian pemilik tanah.
Saya merujuk kepada soalan Parlimen saya kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 20hb mac 2017 yang berbunyi :
Puan Hajah Fuziah Salleh (Kuantan) Minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan pihak atau agensi manakah yang harus di pertanggungjawabkan didalam kes kematian 3 kanak-kanak akibat mati lemas di kolam bekas lombong bauksit terbiar di Kuantan baru-baru ini.
Jawapan Menteri menjelaskan bahawa tapak kolam dimana 3 orang kanak2 tersebut mati lemas BUKANlah merupakan bekas lombong bauksit terbiar seperti yang dilapor dalam media massa.
Alasan yang di berikan oleh pihak Menteri ialah bahawa Pejabat Tanah Kuantan tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan untuk mengeluarkan tanah dari tapak tersebut. Juga menurut Menteri, rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Pahang menunjukkan tiada sebarang kelulusan Pajakan Melombong, dan tiada Lesen Tuan Punya untuk melombong mineral bauksit telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Maka berdasarkan itu, tapak tersebut TIDAK diklasifikasikan sebagai tapak bekas lombong.
Jawapan Menteri menambah bahawa mengikut undang-undang juga, pemilik tanah bertanggungjawab untuk memastikan tapak tersebut selamat serta pihak pentadbiran negeri sedang mengambil tindakan keatas pemilik tanah.
Dengan ini saya menggesa identiti pemilik tanah tersebut di dedahkan kepada orang awam. Pemilik tanah wajib di pertanggungjawabkan sepenuhnya keatas kecuaian menjaga tanah milik peribadi yang dikorek terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan kemudian dibiarkan sehingga menjadi takungan air yang meragut nyawa. Tuan tanah juga WAJIB membayar jumlah ganti rugi kepada keluarga mangsa2 diatas kesengsaraan yang telah dilalui oleh pihak keluarga.
Juga saya menggesa kerajaan negeri Pahang untuk buat siasatan sekiranya tuan punya tanah telah melakukan kesalahan perlombongan bauksit haram diatas tanah milik peribadi tanpa lesen. Tindakan keras juga harus diambil diatas kesalahan ini.

Ketegasan ini perlu untuk memberikan petunjuk tegas kepada pemilik tanah yang lain yang telah mengorek tanah milik sendiri ikut suka. Saya khuatir terdapat banyak lopak2 air yang lain yang hanya menunggu masa untuk meragut nyawa mangsa lain. Maka dengan hukuman keras ini semoga menjadi petunjuk kepada tuan tanah yang lain untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan laksanakan pemulihan tanpa di minta oleh pihak berkuasa dan sebelum tragedi yang lain berlaku. Saya harapkan tindakan dari pihak berkuasa dengan tegas dan 'without fear or favour'
Demi Rakyat. 
Hajah Fuziah Salleh

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...