Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 27 Mac 2017

Gunakan 50,000 Untuk Bantu Pelajar Miskin & Bukannya Buat Pertandingan Karut Annuar Musa, Kata Rafizi.

Oleh : Rafizi Ramli

ANNUAR MUSA PATUT DERMA RM50,000 SEBAGAI BIASISWA PELAJAR CEMERLANG UNIKL

Saya terkejut membaca berita terkini mengenai tawaran Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang digantung (tetapi masih berkhidmat sebagai Pro-Canselor UniKL) yang telah menaikkan hadiah esei kepada RM50,000 (dari tawaran asal RM10,000 sebelum ini).

Walaupun saya sangat-sangat tidak berminat untuk masuk gelanggang dalam isu-isu yang tidak menguntungkan rakyat seperti ini, tawaran menaikkan hadiah kepada RM50,000 dari seorang Pro-Canselor UniKL dalam keadaan bebanan kewangan warga UniKL yang meningkat; adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Rafizi Ramli
Saya ingin ingatkan Tan Sri Annuar Musa mengenai perkara-perkara ini:

1. Beliau masih menerima elaun dan imbuhan lain sebagai Pengerusi MARA dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan, seperti mana yang diakui beliau sendiri dalam satu video temuramah di Parlimen minggu lalu

2. Warga UniKL masih terbeban dengan pelbagai masalah kewangan. Hanya selepas saya membantah kenaikan yuran asrama di tiga kampus yang telah diputuskan melalui satu pekeliling, barulah menteri terbabit mengarahkan UniKL untuk membatalkan hasrat untuk menaikkan yuran itu

3. Masih ramai anak-anak Melayu/Bumiputra dari keluarga berpendapatan rendah yang belum mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MARA atau pihak lain sedangkan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan seolah-olah semua isu pembiayaan pendidikan telah selesai (rujuk kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2017/02/masalah-pembiayaan-unikl-annuar-musa-berbohong-umum-kelulusan-pembiayaan-berjumlah-rm237-juta/)

4. Ada pensyarah sambilan UniKL yang tidak disambung kontrak bermula Januari 2017 (seperti yang dimaklumkan kepada saya) kerana kedudukan kewangan UniKL yang tidak baik

Dalam keadaan begini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pro-Canselor UniKL lebih ghairah bermain politik sehingga sanggup menawarkan wang hadiah RM50,000 untuk memperlekehkan musuh politik beliau, Lim Kit Siang.

Saya juga berpendapat ia hanya gimik politik beliau untuk menjadi jaguh agar berpeluang bertanding jawatan kanan dalam pemilihan Umno akan datang, memandangkan masa depan politik beliau mundar mandir akibat pelbagai kes dan kontroversi yang melibatkan beliau kebelakangan ini.

Oleh itu, saya menasihati Tan Sri Annuar Musa supaya kembali kepada amanah asal beliau iaitu menjaga kebajikan pendidikan anak-anak bangsa di institusi di bawah seliaan beliau seperti UniKL.

Saya menasihati beliau mengumumkan bahawa wang RM50,000 itu akan ditukar menjadi hadiah biasiswa kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL.

Saya juga menasihati pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi melayan karenah Tan Sri Annuar Musa dan jangan terperangkap dengan permainan tawar menawar wang untuk memperlekehkan lawan politik seperti ini.

Sesungguhnya rakyat mencemuh kegilaan politik seperti ini dalam keadaan mereka sengsara dengan bebanan ekonomi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...