Isnin, 13 Februari 2017

Sanggup Sesatkan Orang Kerana Usul, Janganlah Politikkan Agama Kata MAZA Kepada Pemimpin Parti Islam

Oleh : MAZA


Apakah Yang Mengelirukan?

Pemimpin parti politik tertentu sensitif apabila saya menyebut bahawa jangan fikir keindahan Islam itu hanyalah apabila dipotong tangan pencuri, direjam dengan batu penzina, dipancung orang yang dituduh murtad. Semua hukuman itu memerlukan suasana, syarat dan ijtihad yang lebih luas. Nabi s.a.w dalam sirah baginda mendahului kebaikan rakyat sebelum hukuman. Jangan hanya nanti sibuk hendak memotong tangan pencuri basikal tetapi membisu pabila orang yang mencuri berjuta-juta harta awam.

Keindahan Islam itu lahir dari keindahan akhlak, kebajikan rakyat, urus tadbir yang baik, menjaga kebersihan, menjaga alam sekitar, menjaga hak rakyat, hak kanak-kanak, hak wanita dan segala macam lagi. Nas-nas agama dalam hal-hal itu jauh lebih banyak dan diutamakan dibandingkan sebahagian hukum yang cuba dibawa oleh mereka. 


Dunia Islam hari ini  dipandang hina bukan kerana pencuri tidak dipotong tangan, penzina tidak direjam atau tidak dipancung orang murtad. Dunia maju yang bermatian pelarian muslim lari kepada mereka bukan kerana mereka menjalankan undang-undang tersebut. 

Sebaliknya kerana mereka menjalankan urus tadbir yang baik. Negara mereka indah sebab mereka tidak 'menebang balak' sesuka hati. Amanah harta pemimpin mereka jauh lebih baik dari kebanyakan negara umat Islam. Rakyat mereka hidup dengan banyak hak dan kebajikan dijaga. Sejak bertahun lamanya saya telah memberikan pandangan yang sama. Bukan baru.

Dukacitanya, dalam dunia umat Islam ada golongan yang tidak dapat melihat Islam melainkan asyik tertumpu kepada isu hudud. Seakan itulah yang hendak ditonjolkan oleh Nabi s.a.w. Mereka ini sebenarnya menjadikan dunia membenarkan dakwaan Donald Trump.

Kata pemimpin tertentu parti berkenaan pandangan saya itu mengelirukan dan ada unsur liberal.

Saya ingin beritahu beliau, sebenarnya yang mengelirukan itu ialah apabila agama dipolitikkan. Ataupun akidah umat dijadikan taruhan politik.

Tahukah kamu apakah yang mengelirukan itu?

Yang mengelirukan itu ialah apabila dahulu parti anda mengkafirkan orang yang berbeza parti sehingga ada yang bercerai berai, tidak makanan sembelihan, solat dua imam, bahkan sehingga ada yang mati terkorban kononnya syahid menentang berbeza parti.


Kemudian, hari ini semuanya sudah berbeza. Padahal parti yang dikafirkan itu tetap sama, bahkan sebahagian besar pemimpin juga tetap sama.

Yang mengelirukan ialah apabila parti anda menyebut 'perlembagaan kita adalah perlembagaan penjajah, kafir dan jahiliah. Kemudian hari ini anda menyebut kita menjunjung dan menghormati perlembagaan.

Betapa ramai yang telah menjadi korban oleh fatwa dan amanat parti anda itu?!

Yang mengelirukan ialah ketika anda berbaik dengan parti tertentu anda memberi seribu dalil kelebihan parti-parti tersebut. Kemudian apabila anda bertelagah anda menjadikan mereka munafik, keluar jamaah Islam mati jahiliah, musuh Islam dan sebagainya.

Yang mengelirukan itu ialah apabila ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda menyatakan hudud bukan keutamaan. Bahkan anda menyatakan 'selesai masalah pengangguran dulu baru hudud'. Kemudian anda menyatakan sesat, liberal ataupun anti-Islam sesiapa yang mengungkapkan hal yang sama.

Anda yang menuduh orang itu dan ini murtad, kemudian anda ingin buat undang-undang murtad?!! Berkepentingan!!!

Jika hendak disenaraikan yang mengelirukan memanglah banyak. Maka, janganlah mempolitikkan agama yang luhur ini. Ia akan benar-benar mengelirukan.

Hari ini anda sesatkan orang yang enggan menyokong usul anda, esok mungkin anda jadikan dia jadi wali Allah pula apabila 'angin politik' anda berubah?!

Itu belum lagi kita bincang ceramah parti anda yang penuh maki hamun, mengkafirkan, menuduh sesat, kufur, tanam di kubur kafir, keluar parti keluar jamaah Islam maka tercabut Islam dan lain-lain.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...