Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Jumaat, 18 November 2016

Rupanya Bekas CEO Tabung Haji Heavy Engineering Yang Didakwa Baru-Baru Ini, Jadi Betul Lah Dakwaan Rafizi Sebelum Ini!

Sebelum ini saya dedahkan tentang kerugian pelaburan Tabung Haji di dalam Tabung Haji Heavy Engineering. Saya dituduh fitnah. Kemudian saya dedahkan Kementerian Kewangan luluskan permohonan Tabung Haji untuk mengenepikan sekatan dalam Akta LUTH agar Tabung Haji dapat menjamin pinjaman baru THHE. 

Saya dituduh fitnah. Kini, semua yang saya dedah itu jelas kepada rakyat ada kebenarannya apabila bekas CEO THHE yang dilantik Tabung Haji telah ditahan SPRM. Mohon sebarkan, kita perlu kawalselia tabung rakyat. Share sebanyak mungkin supaya lebih ramai yang buka mata.


17 NOVEMBER 2016

SIASATAN SPRM KE ATAS BEKAS KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TABUNG HAJI HEAVY ENGINEERING: SIASAT INDIVIDU LAIN YANG TERLIBAT DALAM KEPUTUSAN PELABURAN

Minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Datuk Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Heavy Engineering (THHE), sebuah syarikat yang secara langsung telah mengakibatkan risiko hangusnya berbilion ringgit wang pendeposit Tabung Haji.

Saya telah secara konsisten mendedahkan kerugian demi kerugian yang dialami oleh THHE dan risikonya kepada Tabung Haji. Saya juga telah mendedahkan dokumen-dokumen rasmi yang menunjukkan Kementerian Kewangan, di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, telah meluluskan pakej sokongan baru kepada THHE yang boleh meningkatkan risiko hangusnya wang pendeposit Tabung Haji yang dilaburkan ke dalam THHE sehingga mencecah sekitar RM1.4 bilion.

Walau bagaimana pun, setelah perkara itu didedahkan, pakej sokongan kewangan dalam bentuk jaminan korporat (“corporate guarantee”) itu untuk THHE membuat pinjaman baru tidak digunakan oleh THHE. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan menganugerahkan kontrak pembinaan kapal-kapal peronda pesisir pantai yang berjumlah sekitar RM700 juta kepada THHE secara rundingan terus walaupun THHE tidak berpengalaman dalam bidang itu.

Saya mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana menjalankan tanggungjawabnya menyiasat aduan kepincangan pengurusan di dalam THHE yang telah pun menyebabkan ratusan juta wang pendeposit miskin Tabung Haji hangus begitu sahaja dalam tempoh tujuh tahun yang lalu.

Pun begitu, saya percaya adalah tidak adil sekiranya siasatan hanya berkisar kepada urusniaga yang bersabit dengan suapan yang dikaitkan dengan harta yang dimiliki oleh individu-individu yang berkait THHE yang sedang disiasat SPRM.

Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana pengurusan terkanan Tabung Haji termasuk Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburannya boleh membuat keputusan untuk melabur di dalam sebuah syarikat yang sebelum Tabung Haji membuat pelaburan besar, telah pun mengundang pelbagai kontroversi ketika THHE dikenali sebagai Ramunia Holdings Berhad.

Lebih penting, siasatan perlu dibuat tentang bagaimana setelah THHE mengalami kerugian, Tabung Haji terus menyuntik dana ke dalam THHE sehingga memberi pelbagai bentuk sokongan kewangan walaupun Tabung Haji hanyalah pemegang 30% daham THHE.

Pengurusan terkanan Tabung Haji dari peringkat Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang bertanggungjawab dalam keputusan-keputusan di atas perlu disiasat juga kerana keputusan mereka terus melaburkan wang pendeposit Tabung Haji ke dalam THHE, kalau pun tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan, boleh disiasat untuk memastikan tidak ada unsur kecuaian sehingga menyebabkan kerugian sedemikian rupa.

Saya akan menunggu maklumbalas Tabung Haji mengenai perkara ini dan akan mempertimbangkan membuat laporan polis terhadap beberapa pengurusan terkanan Tabung Haji minggu depan sekiranya tiada keterbukaan Tabung Haji dalam perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...